Monday, 29 October 2012


ISU 20 : CONTOH HADIS PALSU YANG TERSEBAR 
Soalan 20: 
Apakah contoh-contoh hadis dhaif dan palsu yang telah tersebar dalam masyarakat? 
Jawapan:

Berikut saya senaraikan beberapa contoh hadis-hadis yang popular di dalam masyarakat. Sayangnya hadis-hadis yang popular ini pada hakikatnya adalah dhaif atau palsu. Saya menyebutnya sebagai dhaif atau palsu dengan meletakkan komen dan hasil kajian para ulama hadis dulu dan kini untuk sama-sama diteliti dan difahami. Ini bermakna, bukanlah saya yang memandai-mandai mengatakan ia dhaif atau palsu, tetapi saya berpandukan kepada hasil kajian yang telah sedia ada di dalam buku-buku para ulama hadis. Bagi para pembaca, mereka dialu-alukan untuk membetulkan kesilapan saya sama ada dari segi penggunaan bahan rujukan atau kesilapan dalam terjemahan teks asalnya yang ditulis dalam bahasa arab.

Di samping itu saya juga selitkan sedikit ulasan bagi menjelaskan maksud hadis tersebut dan juga membincangkan adakah maksud hadis boleh diterima dan disokong oleh dalil-dalil daripada Al Quran atau hadis sahih. Walau bagaimana baik maksud sesuatu hadis yang dhaif atau palsu, hadis tersebut tetap tidak boleh dinyatakan atau ‘diiklankan’ sebagai ‘hadis sahih’ atau sebagai ‘sabda Nabi SAW’. Hadis tersebut mungkin boleh dianggap sebagai kata-kata hikmah atau nasihat yang baik sekiranya maksudnya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Pembaca akan dapat melihat apa yang saya maksudkan dalam huraian setiap hadis.  
Pertama: 
Maksudnya: Tuntutlah ilmu walaupun hingga  ke negeri China.

Kedudukan Hadis:
Ini adalah hadis palsu. Hadis ini telah disebutkan sebagai palsu oleh Ibn al Jauzi di dalam buku al Maudhu’at[1]. Pembaca juga boleh melihat buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya karya Mohd. Asri Zainul Abidin untuk mendapat maklumat lanjut tentang hadis ini. Hadis ini dikritik juga oleh pengkaji hadis  seperti Ibnu Tahir al Maqdisi (507H)[2], al Iraqi[3], Ibn Hibban[4] dan Muhammad Nasiruddin al Albani[5].

Ulasan:
Hadis ini kerap dijadikan hujah bagi membuktikan bahawa Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu sejauh yang mungkin walaupun ke negara China. Sedangkan pada hakikatnya hadis ini adalah palsu. Telah ada dalil-dalil serta hujah-hujah yang jelas dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih tentang kewajipan menuntut ilmu serta kelebihan mereka yang mempunyai ilmu. Terdapat ayat-ayat Al Quran yang mengiktiraf golongan yang berilmu contohnya:

Maksudnya : ALLAH mengangkat kedudukan orang-orang yang beriman dan yang mempunyai ilmu dengan beberapa darjat[6].

Begitu juga di dalam hadis-hadis sahih terdapat saranan ke arah menuntut ilmu antaranya seperti hadis:

Maksudnya: Sesiapa yang melalui jalan ke arah menuntut ilmu maka ALLAH mudahkan untuknya jalan ke syurga[7].

Maksudnya: Menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap muslim [8].

Telah diketahui umum bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan dalam kehidupan umat Islam. Apa yang ingin saya sebutkan di sini adalah kesalahan menggunakan hadis palsu dalam menyatakan sesuatu perkara yang telah sedia ada dalam Islam sama ada di dalam Al Quran atau hadis-hadis sahih. Tindakan menggunakan hadis palsu ini boleh menjadikan kita lupa bahawa ayat Al Quran atau hadis sahih sudah pun memadai dan mencukupi untuk kita menyatakan sesuatu yang berkaitan dengan Islam. Berhati-hatilah dalam menggunakan sesuatu hadis. Pastikan bahawa hadis tersebut adalah sahih sebelum menggunakannya sebagai dalil atau hujah.




Kedua:

Maksudnya: Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad

Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis palsu. Menurut Yusuf al Qaradhawi, walaupun maksud hadis ini benar, bukanlah bermakna itu adalah hadis yang benar-benar datang dari Nabi SAW[9]. Hadis ini juga ditolak kesahihannya sebagai sabda Nabi SAW oleh seorang pengkaji hadis zaman ini,  Abd. Fattah Abu Ghuddah[10].


Ulasan:
Seperti yang telah disebutkan dalam komen saya terhadap hadis pertama, terdapat banyak dalil dalam Al Quran dan hadis-hadis yang sahih yang menyuruh dan menggalakkan umat Islam menuntut ilmu. Dalil-dalil itu sudah mencukupi dan kita tidak perlu lagi menggunakan hadis-hadis palsu yang direka. Penggunaan hadis-hadis palsu adalah salah walaupun dengan niat yang baik.

Wujudnya segolongan pendakwah atau penceramah yang tidak mendalami bidang hadis telah menyebabkan ramai pendengar yang terkeliru dengan hadis-hadis yang tidak sahih tetapi disangkanya sahih. Bahkan disangkanya hadis ini menjadi kaedah utama dalam agama Islam sehingga dia terlupa dalil yang sudah sedia ada dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih. Pendakwah atau penceramah selalunya mencari jalan singkat untuk mengumpulkan bahan ceramahnya lalu mereka menggunakan buku-buku berbentuk akhlak atau buku cerita yang kadangkala tidak memperdulikan kesahihan fakta yang dimuatkan di dalamnya. Ada yang mengambil hadis-hadis daripada buku al Ghazali iaitu Ihya’ Ulumiddin yang sememangnya mengandungi banyak hadis dhaif dan palsu. al Iraqi telah berusaha untuk menyemak kembali hadis-hadis di dalam buku Ihya’ Ulumiddin dan mengkaji kesahihannya atau kedhaifannya. Segala kajian al Iraqi itu beliau muatkan di dalam bukunya berjudul al Mughni ‘An Hamli al Asfar dan jika kita membaca kajian beliau, kita akan dapati terlalu banyak hadis yang tidak sahih ada dalam buku al Ghazali itu.

Kepada pembaca buku Ihya’ Ulumiddin, saya nasihatkan supaya mereka melihat kajian al Iraqi dan memastikan adakah hadis itu sahih atau tidak. Terdapat beberapa versi buku Ihya’ Ulumiddin yang dicetak bersama dengan kajian al Iraqi sebagai nota kaki. Tidak ada sesiapa yang menyalahkan al Ghazali kerana kesilapannya dalam buku Ihya’ Ulumiddin kerana al Ghazali adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan. Beliau berkemungkinan besar tidak tahu bahawa sesuatu hadis itu palsu lalu menyebutnya dalam Ihya’ Ulumiddin. Tetapi kita sebagai pembaca pada zaman ini perlulah mengelak dari menggunakan hadis-hadis palsu dalam Ihya’ Ulumiddin kerana kita telah pun tahu tentang kepalsuannya berdasarkan kajian al Iraqi serta ulama lain. Kita menghormati al Ghazali tetapi kita tidak akan mengulangi kesilapan yang beliau telah lakukan iaitu tersalah dalam menyebut hadis-hadis palsu yang disangka beliau sebagai sahih.  
Ketiga:
Maksudnya: Tidur selepas subuh/ waktu pagi menghalang rezeki.

Kedudukan Hadis:
Hadis ini adalah  hadis palsu. Hadis ini dilabelkan sebagai  palsu oleh al Hasan Ibn Muhammad al Shoghoni dan disokong oleh ahli hadis masa kini, Abd. Fattah Abu Ghuddah[11]. Manakala di antara ulama yang melabelkan hadis ini sebagai sangat dhaif pula ialah al Haithami[12], Ahmad Syakir[13], Muhammad Nasiruddin al Albani[14] dan Syuaib al Arnaouth[15]
Ulasan:
Tiada tegahan dan tiada pula suruhan ke arah perkara ini. Perkara ini dilakukan mengikut kesesuaian keadaan dan keperluan. Sedangkan sesiapa sahaja yang ingin mencari hadis ini pasti akan menemui bahawa para ulama hadis yang terkenal telah mengkritik hadis ini sekaligus menjadikannya hadis yang tidak sahih. Ada pula yang berhujah bahawa logik akal menyokong hadis ini kerana orang yang bekerja akan lewat ke tempat kerja dan tidak dapat menjalankan tugas sekiranya tidur selepas subuh. Mereka seolah-olah lupa bahawa ada juga masyarakat kita yang bekerja pada waktu petang dan malam. Adakah mereka tidak dapat menjalankan tugas jika tidur selepas subuh?  
Persoalan rezeki ini adalah persoalan besar dan untuk menyatakan sesuatu perkara itu menghalang rezeki, kita memerlukan hujah dan dalil yang kuat daripada Al Quran atau hadis sahih. Terdapat beberapa perkara lagi yang dikatakan menghalang rezeki seperti minum daripada gelas sumbing, menjahit baju di badan sendiri dan lain-lain lagi tetapi semuanya tidak mempunyai dalil atau hujah daripada Al Quran atau hadis sahih.

Keempat:
Kisah sahabat Nabi bernama Sa’labah ثعلبة  yang tidak membayar zakat. 
Kedudukan Hadis:
Hadis ini adalah hadis palsu. Maklumat lanjut ada di dalam buku al Sohih al Musnad Min Asbab al Nuzul karya Syeikh Muqbil bin Hadi al Wadii[16]. Buku ini merupakan antara hasil karya yang terbaik daripada Syeikh Muqbil yang merupakan seorang pengkaji hadis dari negara Yaman. Beliau berusaha mengumpulkan asbab nuzul (sebab-sebab ayat Al Quran diturunkan) yang sahih sahaja. Ini kerana sememangnya telah diketahui bahawa tidak semua asbab nuzul yang tercatat dalam buku-buku terdahulu adalah sahih. Menurut Syeikh Muqbil, kisah Sa’labah yang tidak membayar zakat ditolak kesahihannya oleh imam-imam hadis terkenal seperti Ibnu Hazm (al Muhalla) , al Suyuthi (Lubab al Nuqul) , Ibnu Hajar al Asqalani (Takhrij al Kasyaf dan Fath al Bari), al Haithami (Majma’ al Zawaaid), al Zahabi (Tajrid Asma’ al Sahabah), al Munawi (Faidh al Qadir) dan al Iraqi (al Mughnitakhrij Ihya’ Ulumiddin). Di dalam sanad hadis tersebut terdapat periwayat yang dikritik sebagai dhaif iaitu Ali bin Yazid al Alhani.

Syeikh Muqbil al Wadii juga menyatakan bahawa terdapat riwayat yang disebutkan daripada Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa kisah ini adalah berkaitan dengan seorang sahabat bernama Sa’labah bin Abi Hathib dan bukan Sa’labah bin Hathib. Namun riwayat itu juga tidak sahih kerana bersumberkan daripada periwayat-periwayat yang tidak diterima.

Salah seorang ulama dan pendakwah terkemuka Mesir, Muhammad Hassan telah menyenaraikan beberapa hujah yang membuktikan bahawa kisah Sa’labah ini adalah kisah yang tidak benar. Hujah-hujah untuk mendhaifkan hadis ini disebut dalam salah satu ceramah beliau dan boleh didengari dari laman web www.islamway.com.

Kisah ini juga dikritik kesahihannya oleh Yusof al Qaradhawi dalam bukunya Kaifa Nata’amalu Ma’a al Sunnah al Nabawiyyah[17], Al Iraqi[18] dan Muhammad Nasiruddin al Albani[19].


Ulasan:

Boleh dikatakan semua ulama tafsir dan hadis yang terkenal telah mendhaifkan hadis ini. Tidak ada seorang ulama pun yang mengatakan kisah ini benar. Sayangnya hadis ini amat popular terutama dalam kalangan yang ingin mengajak masyarakat supaya membayar zakat serta tidak melengahkan pembayarannya. Kisahnya berkisar tentang seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Sa’labah bin Hathib yang pada asalnya miskin. Namun setelah didoakan oleh Nabi SAW, dia telah menjadi kaya raya. Kekayaannya menjadikannya sombong dan enggan menunaikan zakat. Akhirnya beliau tidak diterima taubatnya oleh Rasulullah SAW kerana turunnya ayat daripada surah at Taubah. Selepas baginda wafat, para khalifah tidak ingin menerima zakat yang ingin diberikan oleh Sa’labah. Kisah ini adalah kisah yang tidak benar.

Azab siksa yang dijanjikan kepada mereka yang tidak membayar zakat telah ada disebutkan di dalam nas-nas yang sahih iaitu Al Quran dan hadis sahih. Oleh sebab itu kita melihat dalam sejarah Islam berlakunya peperangan yang dipimpin oleh khalifah pertama Islam , Abu Bakr al Siddiq menentang golongan yang tidak mahu membayar zakat.




Kelima:

Maksudnya: Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.


Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis dhaif seperti yang telah dihuraikan oleh al Albani di dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah[20]. Sebelum daripada al Albani, hadis ini juga telah didhaifkan oleh al Haithami[21].


Ulasan:

Setahu penulis, tidur selepas Asar belum dibuktikan kemudharatannya dari segi perubatan. Kalaulah sekiranya dapat dibuktikan dari segi perubatan bahawa perbuatan ini memberikan kesan kepada akal manusia, maka kita akan menyatakan bahawa ia dilarang berhujahkan kenyataan dari aspek perubatan tersebut dan bukannya berhujahkan hadis yang tidak sahih ini. Hadis dhaif dan palsu tetap tidak boleh dijadikan hujah atau dalil untuk melarang sesuatu perkara yang asalnya tidak dilarang.

Terdapat satu kisah berkaitan persoalan tidur selepas waktu Asar. Seorang imam fiqh dan hadis yang masyhur, al Laith bin Saad (175H) pernah ditegur oleh salah seorang rakannya kerana beliau mendapati al Laith tidur selepas Asar pada bulan Ramadhan. Rakannya itu membacakan hadis yang telah disebutkan di atas tadi (riwayat Ibnu Adi dalam buku al Kamil) sebagai hujah untuk menegur al Laith. Apabila al Laith mendengar sanad hadis itu dibaca, maka beliau telah mengesan satu kecacatan dalam hadis tersebut iaitu terdapat periwayat bernama Abdullah bin Lahi’ah yang meriwayatkan hadis itu daripada periwayat bernama Aqil. Al Laith lalu berkata: “Aku tidak akan meninggalkan perkara yang bermanfaat kepada diriku ini (tidur selepas Asar) hanya kerana hadis yang diambil dari jalan Ibnu Lahi’ah dari Aqil”. Maksud al Laith ialah beliau tidak akan meninggalkan tidur selepas Asar yang bermanfaat baginya hanya kerana satu hadis yang tidak sahih[22].




Keenam:
Maksudnya: Kebersihan itu separuh daripada iman.

Kedudukan Hadis:
Hadis ini telah dikritik dan dilabelkan sebagai hadis dhaif jiddan (sangat dhaif) oleh al Iraqi[23] dan dinyatakan sebagai palsu oleh al Albani[24] dengan lafaz yang hampir sama iaitu “kebersihan itu menyeru kepada keimanan”.


Ulasan:

Telah disepakati oleh semua orang yang mempelajari tentang Islam melalui sumber utamanya iaitu Al Quran dan hadis sahih bahawa Islam memang mementingkan kebersihan. Tetapi tidak ada hadis yang menyatakan bahawa “Kebersihan itu separuh daripada iman”. Kita perlu berhati-hati apabila menyebutkan sesuatu hadis dan tidak sekadar menyebutnya kerana maknanya bertepatan dengan ajaran Islam.

Terdapat satu perkara yang menarik yang saya pernah temui iaitu satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih Muslim[25] dengan lafaz: الطهور شطر الإيمان yang diterjemahkan dengan maksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. Terjemahan sebegini saya temui di dalam salah sebuah majalah yang pernah saya baca. Sedangkan maksud hadis itu yang sebenar menurut kata para pengkaji hadis dalam buku-buku mereka ialah:  “Bersuci dari hadas adalah separuh daripada solat”. Terdapat perselisihan pendapat tentang maksud hadis ini dalam buku Jami’ al Ulum wa al Hikam karya Ibnu Rejab al Hanbali (795H). Ibnu Rajab telah membincangkan maksud sebenar perkataanالطهور  dan perkataan الإيمان dengan membawa banyak pendapat para ulama. Kesimpulan yang diambil oleh Ibnu Rajab ialah perkataan الطهور membawa maksud ‘bersuci daripada hadas’ dan maksudالإيمان  pula ialah ‘solat’[26]. Maksud hadis ini betul, namun hakikat ini tidak bermakna kata-kata tersebut telah benar-benar diucapkan oleh Rasulullah SAW. Kita mesti berhati-hati dalam menyebut sesuatu berkaitan Rasulullah SAW[27].




Ketujuh:

Maksudnya: Perselisihan dalam umatku adalah rahmat.

Kedudukan Hadis:
Hadis ini telah dikategorikan oleh beberapa orang ulama hadis sebagai tidak ada asalnya. Perkataan ini bermaksud tidak ada asal usulnya dalam mana-mana buku hadis. Begitulah pendapat yang dikemukakan oleh al Subki sebagaimana dicatatkan oleh al Albani dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah[28]. Al Iraqi juga menolak kesahihan hadis ini[29].


Ulasan:

Hadis ini telah menyatakan bahawa menjadi satu rahmat bagi kita jika kita berselisih pendapat. Ini adalah pandangan yang perlu diteliti dengan mendalam kerana kita amat yakin bahawa perselisihan selalunya membawa kepada perpecahan. Ibn Hazm dalam bukunya al Ihkam Fi Usul al Ahkam telah menyatakan bahawa jika sekiranya perselisihan itu rahmat, maka sudah pasti permuafakatan pula akan menjadi satu perkara yang tidak dirahmati. Ini adalah pendapat yang tidak benar sama sekali[30].

Ada sesetengah penulis yang menafsirkan perselisihan dalam hadis ini dengan maksud perselisihan dalam bidang fiqh dan bukan perselisihan dalam bidang aqidah. Tafsiran sebegini adalah tepat tetapi pada pandangan penulis, kita tidak perlu membuat tafsiran sebegini kerana hadis ini bukanlah hadis yang sahih. Tafsiran sebegini diperlukan sekiranya hadis ini sahih dan kita tidak dapat memahami maksudnya. Ada pun sekiranya sesuatu hadis itu tidak sahih, tidak perlulah kita bersusah payah hendak memahaminya. Tumpukan usaha kita kepada hadis yang sahih sahaja. Wallahu a’lam




Kelapan:

Maksudnya: Sabar itu separuh daripada iman

Kedudukan Hadis:
Menurut Ibn Rajab al Hanbali, ini adalah kata-kata sahabat dan bukan hadis Nabi SAW[31]. Di antara yang menyebutnya sebagai hadis Nabi SAW ialah al Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumiddin. Menurut al Iraqi yang mengkaji hadis-hadis Ihya’ Ulumiddin, hadis tersebut adalah dhaif[32]. Begitu juga dengan al Albani yang menyatakannya sebagai sangat dhaif[33]. Menurut al Baihaqi dan al Zubaidi, kata-kata ini mauquf (kata-kata sahabat)[34].

Ulasan:

Memandangkan bahawa kata-kata ini adalah kata-kata sahabat dan melihat kepada maksudnya yang tidak menyalahi mana-mana asas dalam Islam, maka  boleh diucapkan dan disebarkan kepada masyarakat. Apa yang perlu ialah menyatakannya sebagai kata-kata sahabat atau kata-kata hikmah dengan tidak menyatakannya sebagai hadis Nabi SAW.  Kita juga mesti mengutamakan ayat-ayat Al Quran yang menceritakan perihal kesabaran dan kepentingannya seperti ayat-ayat di dalam surah Luqman yang menceritakan nasihat Luqman kepada anaknya yang antara lainnya mengandungi nasihat supaya bersabar di atas segala ujian yang menimpa diri. Begitu juga dengan hadis-hadis sahih yang menceritakan soal kesabaran dan pahala orang-orang yang sabar. Itu mesti didahulukan daripada kata-kata hikmah atau kata-kata sahabat agar masyarakat sentiasa memahami kewajipan mendahulukan Al Quran dan hadis sahih dalam kehidupan.




Kesembilan:
Maksudnya: Kita telah pulang dari jihad yang kecil ( peperangan) dan kita menuju kepada jihad yang lebih besar/paling besar. Para sahabat berkata: Apakah jihad yang paling besar? Rasulullah berkata: Jihad menentang hawa nafsu.

Kedudukan Hadis:
Hadis ini telah dinilai sebagai hadis dhaif oleh Syuaib al Arnaouth ketika beliau menyemak hadis-hadis di dalam buku Jami’ al ‘Ulum Wa al Hikam tulisan Ibn Rajab al Hanbali[35].Beliau telah mengambil pandangan Ibnu Hajar al Asqalani yang menyatakan bahawa kata-kata ini ialah kata-kata seorang ulama tabiin yang bernama Ibrahim Bin ‘Ablah.
Menurut al Albani dalam Silsilah al Ahadith al Dhaifah: Munkar. Al Albani telah menukilkan kata-kata Ibnu Taimiyyah (728H) dalam Majmu’ al Fatawa:

Tidak ada asalnya (hadis tersebut) dan  tidak diriwayatkan oleh pakar-pakar yang mengetahui tentang kata-kata Nabi SAW dan perbuatan baginda. Dan memerangi orang-orang kafir (jihad) adalah sebesar-besar amalan bahkan merupakan amalan yang terbaik yang dilakukan oleh seseorang manusia[36].


Ulasan:

Hadis ini boleh menyebabkan sebahagian umat Islam tersalah anggap lantas memperkecilkan kefardhuan jihad dan keagungan pahala mereka yang berjihad sebagaimana yang telah disebutkan di dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih. Hadis ini sering digunakan oleh mereka yang bercakap atas nama kesufian untuk menunjukkan betapa pentingnya jihad melawan kehendak hawa nafsu. Tiada siapa yang menafikan perlunya kita melawan nafsu yang ingin mengajak ke arah maksiat dan sudah sedia ada di dalam hadis-hadis sahih tentang kepentingan mujahadah menentang kehendak nafsu ini seperti hadis Nabi SAW:
      
Maksudnya: Orang yang berjihad ialah yang berjuang menentang kehendak dirinya (yang buruk)[37].

Tetapi hadis ini tidaklah sampai bermaksud seperti yang digambarkan oleh hadis palsu tadi sehingga ke tahap menjadikan peperangan itu kecil dan melawan nafsu lebih besar mengatasi segalanya. Firman ALLAH:

Maksudnya : Orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad pada jalan ALLAH  dengan diri mereka sendiri dan harta mereka lebih besar pahalanya (dari orang yang hanya memberikan harta dan tidak pergi ke medan peperangan) di sisi ALLAH dan itulah orang-orang yang berjaya[38].

Di dalam Islam terdapat pelbagai jenis jihad dan di antaranya ialah jihad peperangan mempertahankan Islam daripada musuh, jihad dalam menuntut ilmu, jihad membangunkan ekonomi, jihad menentang hawa nafsu yang menjurus ke arah maksiat dan lain-lain lagi. Namun begitu, hadis yang disebutkan tadi adalah dhaif atau lebih rendah kedudukannya dan kita dilarang menggunakan hadis sedemikian dalam menyatakan sesuatu hukum. Marilah kita menggunakan hadis-hadis sahih dalam menentukan sesuatu perkara atau hukum. Inilah perkara yang telah disarankan oleh para ulama sejak dahulu hingga kini.



Kesepuluh:

Maksudnya: Berbual di masjid memakan pahala seperti binatang liar memakan rumput.

Kedudukan Hadis:
Menurut beberapa orang ulama hadis, hadis ini adalah palsu. Hadis ini disebut di dalam buku-buku seperti Ihya’ Ulumiddin karya al Ghazali. Al Iraqi telah memberikan komennya terhadap hadis ini dengan kata beliau: “Aku tidak menemui asalnya”[39]. Pendapat tersebut disokong oleh al Albani di dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah[40]. Di antara ulama hadis lain yang menyatakan bahawa hadis ini palsu ialah al Zubaidi, al Fairuz Abadi, Ibn Hajar al Asqalani, Ali al Qari dan Abd. Fattah Abu Ghuddah[41].


Ulasan:

Hadis ini secara zahirnya seolah-olah melarang kita daripada berbual atau berbincang di masjid. Sedangkan di dalam hadis-hadis yang sahih, kita dapati Rasulullah SAW seringkali berbincang dan berbual dengan para sahabat di dalam masjid. Bahkan lebih dari itu, sekumpulan orang Islam dari Habsyah telah bermain di dalam Masjid Nabawi dengan permainan pisau. Permainan tersebut bertujuan mengisi masa lapang dan juga melatih kemahiran bersenjata. Maka Rasulullah SAW dan isterinya Aisyah bersama-sama melihat kepakaran orang-orang Habsyah bermain senjata dan tidak melarangnya[42].

Masjid merupakan tempat untuk kita berbincang, menuntut ilmu, merancang perkara-perkara kebaikan dan juga bertegur sapa serta beramah mesra. Inilah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan ia berlainan dengan apa yang disebutkan oleh hadis yang tidak sahih ini. Seharusnya masjid berperanan seperti zaman Rasulullah SAW bagi memastikan umat Islam terus maju dan berjaya seperti pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.


Hadis daif dan palsu dalam Kitab Ihya ‘Ulumiddin
Author: admin
29 Nov
KITAB Ihya ‘Ulumiddin karangan al-Imam al-Ghazali adalah kitab yang sangat masyhur dalam masyarakat kita. Bahkan kitab ini juga memang masyhur di seluruh dunia Islam. Ramai yang gemar membaca dan mengambil manfaat daripada kitab ini. Namun ramai yang kurang memberi perhatian terhadap peringatan para ulama hadis sejak zaman dahulu bahawa dalam kitab ini terdapat banyak hadis lemah, tersangat lemah dan palsu. Di samping banyak juga terdapat di dalamnya hadis-hadis sahih yang diguna pakai oleh imam berkenaan ketika mengemukakan hujah-hujahnya.

Al-Imam al-Ghazali adalah seorang tokoh umat Islam yang dihormati. Jasa dan sumbangannya dalam sebahagian bidang agama tidak dapat dilupakan. Beliau adalah ahli fikir yang besar. Namun bidang hadis bukanlah pengkhususan beliau. Ini diakui oleh mereka yang alim dalam bidang hadis.


Mengkritik hadis-hadis lemah dan palsu dalam kitab Ihya ‘Ulumiddin tidaklah bermaksud menghina atau melupakan jasa dan sumbangan al-Ghazali. Namun, kita harus berkata benar dan jujur dalam segala perkara. Menghargai seseorang tidak boleh membawa kita mengatakan kesilapannya sebagai kebenaran. Jasanya dikenang. Namun kesilapan dinilai agar mereka yang membaca kitab tersebut tidak membuat kesalahan dengan menganggap riwayat yang tidak layak dinilai sebagai hadis dikatakan hadis.

Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. (al-Nisa’: 135)

Al-Ghazali seperti yang dinyatakan oleh al-Hafizd al-Zahabi (wafat 748H) ketika mengulas kesilapan-kesilapan dalam kitab Ihya berkata: “Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan.’’ (Rujukan: Al-Zahabi, Siyar Alam al-Nubala 19/339, Beirut: Muassasah al-Risalah.)

Sesiapa sahaja yang mengkaji ilmu hadis tahu bahawa Al-Imam al-Ghazali bukan seorang pakar dalam bidang hadis, ini diakui oleh semua pihak, melainkan mereka yang jahil tentang ilmu hadis. Sehingga Taj al-Din al-Subki (meninggal 771H), seorang tokoh mazhab al-Syafie terkenal yang begitu mempertahankan al-Imam al-Ghazali, dalam Tabaqatnya turut mengakui hal ini dengan menyatakan: “Adapun apa yang dianggap cacat pada kitab al-Ihya disebabkan kelemahan sebahagian hadis-hadisnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bukanlah seorang pakar dalam bidang hadis.’’ (Rujukan: Taj al-Din al-Subki, Tabaqat al-Syafi’yyah al-Kubra, 3/449, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.)

Kita lihat apa yang dikatakan oleh tokoh-tokoh hadis mengenai kitab Ihya‘ Ulumiddin, antaranya:

1. Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (meninggal dunia 774H) dalam kitab Al-Bidayah wa Al-Nihayah: “Ketika berada di Damsyik dan Baitulmaqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya ‘Ulumiddin. Ia sebuah kitab yang ganjil. Ia mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawuf dan amalan hati. Namun dalamnya banyak hadis yang gharib, mungkar dan palsu.’’ (Rujukan: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.)

2. Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Jauzi (wafat 597H): “Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya Ulumiddin berdasarkan pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadis-hadis batil yang dia tidak tahu kebatilannya.’’ (Rujukan: Ibn Jauzi, Talbis Iblis, hlm 190, Beirut: Dar al-Kutub al-ilmiyyah).

3. Kata al-Hafizd al-Imam al-Zahabi (wafat 748H): “Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadis-hadis yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil daripada ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat? Ia apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah s.a.w. secara perkataan dan perbuatan.” (Rujukan: Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala’, 19/339, Beirut: Dar al-Risalah.)

4. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H): “Abu Hamid (Al-Ghazali) tidak mempunyai kepakaran dalam hadis-hadis Nabi dan riwayat-riwayat salaf seperti mana yang dimiliki oleh ahli-ahli yang mengetahui perkara itu.

“Mereka dapat membezakan antara yang sahih dan yang tidak sahih. Oleh itu, al-Ghazali menyebut dalam kitab-kitabnya hadis dan athar yang palsu dan dusta, yang mana kalau mengetahuinya tentu dia tidak menyebutnya.” (Rujukan: Ibn Taimiyyah, Dar’u Ta’arud al-‘Aql wa al-Naql, 7/149, Riyad: Dar al-Kunuz al-Adabiyyah.)

Sebagai langkah penyelesaian bagi mengatasi masalah hadis-hadis palsu dan daif yang terlalu banyak dalam Ihya maka kitab tersebut hendaklah dibaca bersama dengan takhrij (penilaian dan semakan) yang dibuat oleh Al-Hafizd al-‘Iraqi (wafat 806H). Al-Hafizd Abd. al-Rahim bin al-Husain al-‘Iraqi telah menyemak hadis-hadis Ihya dengan menyebut sumber hadis-hadis yang disebut dalamnya serta kedudukan hadis-hadis tersebut. Banyak hadis Ihya telah dihukum tidak ada asal-usul dalam kitab-kitab hadis.

Takhrij al-Hafizd al-‘Iraqi telah dicetak bersama dengan kitab Ihya. Maka hendaklah kita berhati-hati ketika memetik hadis-hadis daripada kitab tersebut dengan cara merujuk kepada takhrij berkenaan. Kata seorang muhaqqiq yang terkenal di zaman ini, al-Syeikh Syu’ib al-Arnaud: Al-Hafizd Abu Fadl Abd al-Rahim al-‘Iraqi (wafat 806H) telah menyemak hadis-hadis Ihya ‘Ulumiddin kesemuanya dalam semua kitab yang dinamakan Al-Mughni ‘an haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya min al-Akhbar. Ia dicetak bersama dengan Ihya. Beliau telah menunjukkan setiap hadis kepada sumbernya serta menyatakan kedudukannya.

Kebanyakan hadis tersebut beliau menghukumnya sebagai daif (lemah) atau palsu, atau ia tidak ada asal daripada ucapan Rasulullah s.a.w.. Maka hendaklah para penulis, khatib, guru dan penceramah berhati-hati dalam memetik dan berhujah dengan hadis-hadis Ihya selama mereka tidak jelas tentang kesahihannya menerusi semakan al-Hafizd al-‘Iraqi.

Sesungguhnya seorang ulama hadis Syam, Badr al-Din al-Hasani telah berkata: “Tidak harus menyandarkan sesebuah hadis kepada Rasulullah kecuali apabila dinyatakan kesahihannya oleh salah seorang huffaz (yang amat pakar dalam hadis) yang dikenali. Sesiapa yang berkata: “Rasulullah telah bersabda” sedangkan dia tidak tahu kesahihan hadis tersebut menerusi salah seorang huffaz, dibimbangi dia termasuk dalam hadis “Sesiapa yang berdusta ke atasku apa yang aku tidak ucapkan, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Rujukan: Syu’ib al-Arnaud, nota kaki tahqiq Siyar ‘Alam al-Nubala’, 19/340.)

Kata al-Syeikh Abu Syahbah pula: “Aku nasihatkan kepada sesiapa yang membaca Ihya agar tidak berpegang dengan hadis-hadis yang disebutkan kecuali setelah melihat takhrij al-‘Iraqi. Jika tidak dia akan terjatuh dalam dosa berdusta sedangkan dia tidak sedar.” (Rujukan: Muhammad Abu Syahbah, Al-Wasit fi ‘Ulum wa Mustalah al-Hadis, hlm. 254, Kaherah: Dar al-Fikr.)

Antara hadis yang al-Ghazali dikritik hebat kerana menyebutnya dalam Ihya ialah hadis Solat Raghaib iaitu solat yang dilakukan pada malam Jumaat pertama bulan Rejab. Hadis cara dan fadilat solat ini disebut dan digalakkan dalam Ihya sedangkan ia dinilai sebagai palsu oleh para ulama hadis. Al-Hafiz al-‘Iraqi yang menilai hadis ini adalah pakar besar dalam bidang hadis. Beliau menyatakan beliau mendapati tiada asal usul bagi hadis ini.

Al-Imam al-Nawawi (meninggal dunia 676H) ketika mensyarah hadis Muslim daripada Abi Hurairah memetik Baginda bersabda: Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa).

Al-Imam al-Nawawi berkata: “Pada hadis ini larangan yang nyata mengkhususkan malam Jumaat dengan sesuatu solat yang tiada pada malam-malam lain dan puasa pada siangnya seperti yang telah dinyatakan. Sepakat para ulama dalam kemakruhannya. Para ulama berhujah dengan hadis ini mengenai kesalahan solat bidaah yang dinamakan solat al-Raghaib.

Semoga Allah memusnahkan pemalsu dan pereka solat ini. Ini kerana sesungguhnya ia adalah bidaah yang mungkar daripada jenis bidaah yang sesat dan jahil. Padanya kemungkaran yang nyata. Sesungguhnya sejumlah para ulama telah mengarang karangan yang berharga begitu banyak dalam memburukkan dan menghukum sesat orang menunaikan solat tersebut dan perekanya.

Para ulama telah menyebut dalil-dalil keburukan dan kebatilannya dan kesesatan pembuatnya. (Rujukan: Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 3/211, Beirut: Dar al-Khair.)

Beliau pernah berkata: “Bidaah yang buruk lagi sangat mungkar, jangan terpengaruh dengan ramai yang melakukannya di banyak negeri. Juga jangan terpengaruh disebabkan ia disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulumiddin.” (Rujukan: petikan daripada Ali Hasan Ali, Kitab al-Ihya fi Mizan al-‘Ulama, hlm. 21.)

Al-Imam al-Sayuti (meninggal dunia 911H) menyatakan: “Ketahuilah olehmu, semoga Allah merahmatimu, sesungguhnya membesarkan hari tersebut dan malamnya (hari dan malam Jumaat pertama Rejab) hanya perkara baru yang dibuat dalam Islam selepas 400 tahun. Diriwayatkan mengenainya hadis yang palsu dengan sepakat ulama yang mengandungi kelebihan berpuasa pada siangnya dan bersolat pada malamnya. Mereka menamakan solat Raghaib.”

Katanya juga, ketahuilah sesungguhnya solat yang bidaah ini menyanggahi kaedah-kaedah Islam dalam beberapa bentuk. (Rujukan: Al-Sayuti: Abd al-Rahman bin Abi Bakr, Al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’ hlm. 52-54, Beirut: Dar al-Fikr al-Lubnan.)

Demikian juga kitab-kitab kerohanian kesufian lain yang kebanyakan penulisnya tidak mengambil berat soal kesahihan hadis-hadis. Ini seperti kitab Tanbih al-Ghafilin yang banyak dibaca di masjid dan surau. Demikian juga Bustan al-‘Arifin dan lain-lain.

Kata al-Syeikh Abu Syahbah: “Kitab Tanbih al-Ghafilin karangan al-Samarqandi; wajib pembaca berhati-hati terhadap hadis-hadis palsu dan Israiliyyat di dalamnya. Juga kitab Bustan al-‘Arifin yang juga karangannya patut pembaca berjaga-jaga.” (Rujukan: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Wasit fi ‘Ulum wa Mustalah al-Hadis, hlm. 354, Kaherah: Dar al-Fikr.)

Justeru para pembaca kitab-kitab ini hendaklah berhati-hati ketika memetik hadis-hadis daripada kitab-kitab ini.
Sumber: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin ( Utusan Online )
Menjawab Tuduhan Menghina Imam al-Ghazali
Oleh Ustaz Adlan Abd Aziz

Terdapat tuduhan yang cuba disebarkan kononnya saya yang lemah ini menghina Imam al-Ghazali (wafat 505H) dalam buku saya bertajuk '20 Persoalan Asas Tentang Hadis' yang dicetak pada tahun 2006. Sedangkan saya pada hakikatnya langsung tidak berniat untuk menghina apatah lagi merendahkan kedudukan seorang Imam yang terkemuka dalam mazhab as-Syafie ini.

Apa yang saya tulis adalah merupakan nasihat kepada para pendakwah yang ingin menggunakan buku Ihya' Ulumiddin karya al-Ghazali agar menyemak terlebih dahulu tulisan al-Hafiz al-Iraqi (wafat 806H) di mana al-Iraqi telah menyemak kesahihan hadith-hadith di dalam buku Ihya' tersebut. Hasil daripada pandangan dan kajian al-Iraqi mendapati bahawa terdapat hadith-hadith yang 'sahih, hasan, dhaif dan palsu' dalam buku Ihya' Ulumiddin. Kajian ini langsung tidak menjatuhkan kedudukan Imam al-Ghazali kerana ia merupakan kajian untuk membantu para pencinta ilmu agar lebih memanfaatkan dan menyebarkan buku Ihya' Ulumiddin.

Al-Hafiz al-Iraqi merupakan alim hadith terkemuka di zaman beliau terutama di Mesir dan merupakan guru kepada ulama hadith lain spt Ibnu Hajar al-Asqalani (wafat 852H) dan juga al-Haithami (wafat 807H).

Apakah masuk akal seorang alim sebegitu akan menghina Imam al-Ghazali dgn hasil kajiannya itu?

Apakah dengan menyatakan 'terdapat hadith dhaif dan palsu' dalam buku Ihya' Ulumiddin' terus kita dianggap menghina Imam al-Ghazali?

Kitab al-Ihya' al-Imam al-GhazaliKitab al-Ihya' al-Imam al-GhazaliBahkan saya sendiri sejak sekian lama memiliki buku Ihya' Ulumiddin yang menjadi bahan rujukan dalam perpustakaan rumah saya. Begitu juga dengan kitab2 beliau yang lain juga merupakan bahan rujukan utama terutama buku2 fiqh beliau dan juga buku beliau berkaitan Usul Fiqh. Adalah mustahil saya ingin menghina beliau dengan menulis pula dalam sebuah buku utk tatapan umum sejak 2006!

Saya bukanlah seperti sebahagian yang menggelarkan diri mereka 'salafi' yang terus menasihatkan 'jangan baca Ihya' Ulumiddin'. Bahkan saya menggalakkan sesiapa sahaja membacanya dengan melihat bersama komentar al-Iraqi. Tidak mungkin kita boleh abaikan buku sehebat itu dari seorang sehebat al-Ghazali.

Apabila saya menukilkan pandangan al-Iraqi, maka saya harap pandangan itu difahami sebenarnya dan tidak dibawa sehingga memfitnah.

Untuk pembaca dan yang ingin tahu lebih lanjut, bacalah apa yang sebenarnya saya tulis di dalam buku '20 Persoalan Asas Tentang Hadis' pada soalan no.20. Bacalah dari awal dan fahami bersama. Terima kasih.


6/01/2009 05:04:00 PM  Ikmal Johari  No comments
Assalamualaikum wbt...

Pada era masa kini, pelbagai informasi telah dicapai oleh seluruh lapisan masyarakat. Daripada sekecil buku tadika hingga ke sebesar buku ensiklopedia dan daripada media akhbar sehinggalah ke internet. Namun persoalan yang timbul adalah adakah informasi yang didapati itu benar-benar sahih atau dicedok daripada sumber yang tidak tepat? Jadi, di sini ana ingin berkongsi sedikit informasi mengenai hadith-hadith palsu yang telah tersebar di masyarakat awam tetapi kita tidak menyedarinya.

Amalan-amalan yang dilakukan oleh masyarakat awam pada ketika ini yang bersandarkan hadith-hadith yang tidak diketahui kekuatan sanad dan rawinya pada hakikat sebenarnya ianya adalah palsu dan dhaif.

Malah, hadith-hadith yang didapati palsu dan dhaif ini pula telah popular dan sebati di kalangan masyarakat awam sehinggakan tidak boleh berpisah daripada amalan yang telah mereka lakukan.

Oleh yang demikian, ana memetik sebahagian teks daripada tajuk di dalam buku 20 Persoalan Asas Tentang Hadith iaitu Apakah contoh-contoh hadith dhaif dan palsu yang telah tersebar dalam masyarakat. Di dalam tajuk ini terdapat ulasan daripada penulis buku ini namun ana tidak meletakkan ulasan beliau kerana jika diletakkan maka ianya akan difokuskan kepada kedudukan hadith dan pendapat daripada penulis. Sebab lain adalah akan menyebabkan ruangan penulisan di entry ini terlalu panjang kerana ulasan Ustaz Adlan memang panjang. Jika pembaca ingin menatap ulasannya, pembaca boleh membeli buku ini di kedai buku yang berhampiran.

Tetapi yang ditekankan di sini adalah kedudukan hadith tersebut sehinggakan ianya bersanad dhaif dan palsu. Sebab dan mengapa sehinggakan para ulama dan imam muktabar hadith zaman lampau mendhaifkan memalsukan hadith tersebut yang telah tersebar secara meluas kepada masyarakat awam.

Contoh-Contoh Hadith-Hadith Palsu

1. Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke negeri China.

Kedudukan Hadis:

Ini adalah hadis palsu. Hadis ini telah disebutkan sebagai palsu oleh Ibn al Jauzi di dalam buku al Maudhu'at[1]. Pembaca juga boleh melihat buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya karya Mohd. Asri Zainul Abidin untuk mendapat maklumat lanjut tentang hadis ini. Hadis ini dikritik juga oleh pengkaji hadis seperti Ibnu Tahir al Maqdisi (507H)[2], al Iraqi[3], Ibn Hibban[4] dan Muhammad Nasiruddin al Albani[5].

2. Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.

Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis palsu. Menurut Yusuf al Qaradhawi, walaupun maksud hadis ini benar, bukanlah bermakna itu adalah hadis yang benar-benar datang dari Nabi SAW[6]. Hadis ini juga ditolak kesahihannya sebagai sabda Nabi SAW oleh seorang pengkaji hadis zaman ini, Abd. Fattah Abu Ghuddah[7].

3. Tidur selepas subuh/ waktu pagi menghalang rezeki.

Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis palsu. Hadis ini dilabelkan sebagai palsu oleh al Hasan Ibn Muhammad al Shoghoni dan disokong oleh ahli hadis masa kini, Abd. Fattah Abu Ghuddah[8]. Manakala di antara ulama yang melabelkan hadis ini sebagai sangat dhaif pula ialah al Haithami[9], Ahmad Syakir[10], Muhammad Nasiruddin al Albani[11] dan Syuaib al Arnaouth[12].

4. Kisah sahabat Nabi bernama Sa'labah
ثعلبة yang tidak membayar zakat.

Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis palsu. Maklumat lanjut ada di dalam buku al Sohih al Musnad Min Asbab al Nuzul karya Syeikh Muqbil bin Hadi al Wadii[13]. Buku ini merupakan antara hasil karya yang terbaik daripada Syeikh Muqbil yang merupakan seorang pengkaji hadis dari negara Yaman. Beliau berusaha mengumpulkan asbab nuzul (sebab-sebab ayat Al Quran diturunkan) yang sahih sahaja. Ini kerana sememangnya telah diketahui bahawa tidak semua asbab nuzul yang tercatat dalam buku-buku terdahulu adalah sahih. Menurut Syeikh Muqbil, kisah Sa'labah yang tidak membayar zakat ditolak kesahihannya oleh imam-imam hadis terkenal seperti Ibnu Hazm (al Muhalla) , al Suyuthi (Lubab al Nuqul) , Ibnu Hajar al Asqalani (Takhrij al Kasyaf dan Fath al Bari), al Haithami (Majma' al Zawaaid), al Zahabi (Tajrid Asma' al Sahabah), al Munawi (Faidh al Qadir) dan al Iraqi (al Mughni - takhrij Ihya' Ulumiddin). Di dalam sanad hadis tersebut terdapat periwayat yang dikritik sebagai dhaif iaitu Ali bin Yazid al Alhani.

Syeikh Muqbil al Wadii juga menyatakan bahawa terdapat riwayat yang disebutkan daripada Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa kisah ini adalah berkaitan dengan seorang sahabat bernama Sa'labah bin Abi Hathib dan bukan Sa'labah bin Hathib. Namun riwayat itu juga tidak sahih kerana bersumberkan daripada periwayat-periwayat yang tidak diterima.

Salah seorang ulama dan pendakwah terkemuka Mesir, Muhammad Hassan telah menyenaraikan beberapa hujah yang membuktikan bahawa kisah Sa'labah ini adalah kisah yang tidak benar. Hujah-hujah untuk mendhaifkan hadis ini disebut dalam salah satu ceramah beliau dan boleh didengari dari laman web www.islamway.com.

Kisah ini juga dikritik kesahihannya oleh Yusof al Qaradhawi dalam bukunya Kaifa Nata'amalu Ma'a al Sunnah al Nabawiyyah[14], Al Iraqi[15] dan Muhammad Nasiruddin al Albani[16].

5. Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.

Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis dhaif seperti yang telah dihuraikan oleh al Albani di dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah[17]. Sebelum daripada al Albani, hadis ini juga telah didhaifkan oleh al Haithami[18].

6. Kebersihan itu separuh daripada iman.

Kedudukan Hadis:

Hadis ini telah dikritik dan dilabelkan sebagai hadis dhaif jiddan (sangat dhaif) oleh al Iraqi[19] dan dinyatakan sebagai palsu oleh al Albani[20] dengan lafaz yang hampir sama iaitu "kebersihan itu menyeru kepada keimanan".

7. Perselisihan dalam umatku adalah rahmat.

Kedudukan Hadis:

Hadis ini telah dikategorikan oleh beberapa orang ulama hadis sebagai tidak ada asalnya. Perkataan ini bermaksud tidak ada asal usulnya dalam mana-mana buku hadis. Begitulah pendapat yang dikemukakan oleh al Subki sebagaimana dicatatkan oleh al Albani dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah[21]. Al Iraqi juga menolak kesahihan hadis ini[22].

8. Sabar itu separuh daripada iman.

Kedudukan Hadis:

Menurut Ibn Rajab al Hanbali, ini adalah kata-kata sahabat dan bukan hadis Nabi SAW[23]. Di antara yang menyebutnya sebagai hadis Nabi SAW ialah al Ghazali dalam bukunya Ihya' Ulumiddin. Menurut al Iraqi yang mengkaji hadis-hadis Ihya' Ulumiddin, hadis tersebut adalah dhaif[24]. Begitu juga dengan al Albani yang menyatakannya sebagai sangat dhaif[25]. Menurut al Baihaqi dan al Zubaidi, kata-kata ini mauquf (kata-kata sahabat)[26].

9. Kita telah pulang dari jihad yang kecil ( peperangan) dan kita menuju kepada jihad yang lebih besar/paling besar. Para sahabat berkata: Apakah jihad yang paling besar? Rasulullah berkata: Jihad menentang hawa nafsu.

Kedudukan Hadis:

Hadis ini telah dinilai sebagai hadis dhaif oleh Syuaib al Arnaouth ketika beliau menyemak hadis-hadis di dalam buku Jami' al 'Ulum Wa al Hikam tulisan Ibn Rajab al Hanbali[27].Beliau telah mengambil pandangan Ibnu Hajar al Asqalani yang menyatakan bahawa kata-kata ini ialah kata-kata seorang ulama tabiin yang bernama Ibrahim Bin 'Ablah.

Menurut al Albani dalam Silsilah al Ahadith al Dhaifah: Munkar. Al Albani telah menukilkan kata-kata Ibnu Taimiyyah (728H) dalam Majmu' al Fatawa:






Tidak ada asalnya (hadis tersebut) dan tidak diriwayatkan oleh pakar-pakar yang mengetahui tentang kata-kata Nabi SAW dan perbuatan baginda. Dan memerangi orang-orang kafir (jihad) adalah sebesar-besar amalan bahkan merupakan amalan yang terbaik yang dilakukan oleh seseorang manusia[28].


10. Berbual di masjid memakan pahala seperti binatang liar memakan rumput.

Kedudukan Hadis:

Menurut beberapa orang ulama hadis, hadis ini adalah palsu. Hadis ini disebut di dalam buku-buku seperti Ihya' Ulumiddin karya al Ghazali. Al Iraqi telah memberikan komennya terhadap hadis ini dengan kata beliau: "Aku tidak menemui asalnya"[29]. Pendapat tersebut disokong oleh al Albani di dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah[30]. Di antara ulama hadis lain yang menyatakan bahawa hadis ini palsu ialah al Zubaidi, al Fairuz Abadi, Ibn Hajar al Asqalani, Ali al Qari dan Abd. Fattah Abu Ghuddah[31].


ADITH PALSU (SOLAT)
1. SEMBAHYANG DENGAN MEMAKAI SERBAN


Ertinya : Sembahyang dengan memakai serban itu ( ganjarannya ) sama dengan 25 sembahyang yang tidak memakai serban dan sekali sembahyang Jumaat dengan memakai serban itu ( ganjarannya ) sama dengan 70 kali sembahyang Jumaat dengan tidak memakai serban . Dan sembahyang dengan memakai serban itu ganjarannya sama dengan melakukan 10,000 kebaikan

Penjelasan : Hadis ini Palsu

Syihabuddin Ahmad bin Muhamamd Abdis Salaam Al-Manafi ( murid kepada Al-Hafiz As-Sakhaawi ) telah mengatakan bahawa semua riwayat yang berhubung dengan masalah ini adalah Maudhu atau Palsu , bukan termasuk hadis dari Nabi s.a.w.

Sumber: Himpunan Hadis-Hadis Lemah dan Palsu - Imam Bukhari - Syk Nurulhas - m.s. 29


2. SEMBAHYANG DENGAN MEMAKAI SERBAN PUTIH


Ertinya : Sesungguhnya bagi Allah ada beberapa malaikat yang ditugaskan untuk menjaga pintu - pintu ( masjid ) jamik pada hari Jumaat . Mereka akan memohon maghfirah kepada Allah untuk orang - orang yang suka memakai serban putih .

Penjelasan : Hadis ini Palsu

Diriwayatkan oleh Khatiib tetapi dalam sanadnya ada rawi yang bernama Yahya bin Al-Yamani , dia adalah seorang yang suka meriwayatkan hadis - hadis yang 'bathil'

Sumber: Himpunan Hadis-Hadis Lemah dan Palsu - Imam Bukhari - Syk Nurulhas - m.s. 31


3. DUA RAKAAT YANG DILAKUKAN OLEH ORANG YANG SUDAH BERKAHWIN ITU LEBIH BAIK DARIPADA ORANG YANG BELUM KAHWIN


Ertinya : Yang paling rugi di antara kamu ialah orang yang tidak berkeluarga ( bujang ). Dua rakaat yang dilakukan oleh orang yang sudah berkeluarga itu adalah lebih baik daripada 70 rakaat yang dilakukan oleh orang yang belum berkeluarga .

Penjelasan : Hadis ini Palsu

Dalam riwayat lain dikatakan : Dua rakaat yang dilakukan oleh orang yang sudah kahwin itu lebih utama daripada 70 rakaat yang dilakukan oleh orang yang belum kahwin

Dalam sanad riwayat ini rawi yang bernama Mujaasy' . Dia suka meriwayatkan hadis - hadis 'Mungkar'.

Dalam riwayat lain pula dikatakan : Dua rakaat yang dilakukan oleh orang yang sudah kahwin itu lebih baik daripada 82 rakaat yang dilakukan oleh orang yang belum kahwin.

Ibnu Hajar Al-Asqalaani mengatakan , "Riwayat ini 'Mungkar'"

Sumber: Himpunan Hadis-Hadis Lemah dan Palsu - Imam Bukhari - Syk Nurulhas - m.s. 40



4. KHUSYUK DALAM SEMBAHYANG


Ertinya : Dari Ummi Salamah , dia berkata,"Adalah Nabi s.a.w. apabila beliau sedang bersembahyang orang yang ( melihatnya ) beranggapan bahawa sesungguhnya beliau hanya sebuah jasad yang tidak ada rohnya ".


Penjelasan : Hadis ini Palsu

Ibnu Hibban mengatakan : Hadis ini 'tidak ada asalnya' kerana dalam sanadnya ada rawi yang bernama Ja'far . Dia adalah seorang rawi yang biasa meroboh sesuatu berita , sehingga tidak ada keraguan lagi bahawa yang memalsukan hadis ini adalah rawi yang bernama Ja'far ini .
Ahmad bin Adi mengatakan : Ja'far adalah rawi yang dituduh suka memalsukan Hadis

ULASAN PENTERJEMAH:

Boleh jadi riwayat ini dijadikan oleh golongan tarikat sebagai dasar untuk lebih khusyuk dan Khudhu dalam mengerjakan sembahyang dan lain - lain ibadat.

Sumber: Himpunan Hadis-Hadis Lemah dan Palsu - Imam Bukhari - Syk Nurulhas - m.s. 49



5. SUJUD SESUDAH SELESAI SEMBAHYANG


Ertinya : Telah berkata Abu Sa'iid , telah menjadi kebiasaan sebahagian orang yang melakukan sujud sesudah selesai sembahyang untuk berdoa .


Penjelasan : Sujud dalam bentuk ini tidak ada dalam ajaran Islam dan tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., dan tidak pula dari sahabatnya . Perbuatan ini adalah Bid'ah. Imam Ghazali dalam kitabnya Ihyaa-u ' Uluumuddin menerangkan bahawa di antara kebiasaan yang sering dilakukan oleh sebahagian orang awam ialah melakukan sujud pada waktu muazzin sedang qamat pada hari Jumaat . Perbuatan ini tidak ada sumbernya dari hadis Nabi yang sahih atau yang dhaif sekalipun.

Sumber: Himpunan Hadis-Hadis Lemah dan Palsu - Imam Bukhari - Syk Nurulhas - m.s. 56


6. KELEBIHAN SEMBAHYANG DI MASJID NABI ( MASJID NABAWI )


Ertinya : Barang siapa yang bersembahyang di masjidku ( masjid Nabawi ) dengan 40 kali sembahyang dengan tidak putus - putus satu sembahyangpun , maka dia akan dicatat sebagai orang yang selamat dari api neraka , lepas dari azab siksaan serta bersih daripada nifak

Penjelasan : Hadis ini Daif

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Thabrani dengan sanad yang Daif dari jalan Abdir Rahman bin Abdir Rijaal dari Nabiith bin Amar dari Anas bin Malik

Muhammad Nashruddin Albani mengatakan : Hadis ini Daif kerana dalam sanadnya ada rawi yang bernama Nabiith bin ' Amar, dia tidak dikenali oleh para ahli hadis melainkan dalam riwayat ini sahaja.


Sumber: Himpunan Hadis-Hadis Lemah dan Palsu - Imam Bukhari - Syk Nurulhas - m.s. 70


7. MEMBACA QUL HUALLAH HUAHAD SEBANYAK 100 KALI SESUDAH SEMBAHYANG SUBUH


Ertinya : Barang siapa yang mengerjakan sembahyang subuh sesudah itu dia membaca Qul Huallahu Ahad 100 kali sebelum dia berkata - kata , maka tiap - tiap kali dia membaca Qul Huallahu Ahad diampuni segala dosanya selama setahun


Penjelasan : Hadis ini Palsu

Diriwayatkan oleh Imam Thabrani , Hakkim dan Ibnu Asakir dari jalan Muhammad bin Abdir Rahman Al-Qusairi dari Asma binti Waa-illah bin Al-Asqa dia berkata : Apabila ayahku mengerjakan solat subuh, apabila dia telah selesai dia duduk duduk menghadap kiblat dan tidak berkata apa - apa sehingga terbit matahari , sehingga aku terpaksa berkata kepadanya akan sesuatu keperluan yang dikehendakinya . Tetapi beliau tidak menjawab sepatah kata pun . Setelah segalanya selesai barulah dia menjelaskan kepadaku isi hadis tersebut.

Muhammad Nashruddin Albaniy mengatakan : Imam haakim telah mendiamkan riwayat ini .

Al-Haitsaamy mengatakan : Dalam sanadnya ada rawi yang bernama : Muhammad bin Abdir Rahman , dia adalah seorang rawi yang Matruk .

Muhammad Nashrudin mengatakan : Rawi tersebut adalah seorang pendusta sebagaimana yang telah dikatakan oleh Al-Azdi

Ibnu Abi Haatim mengatakan : Aku telah bertanya kepada ayahku tentang riwayat hidup rawi ini , maka beliau berkata , dia adalah seorang rawi yang Matruk dan riwayatnya tidak boleh di pakai dan adalah seorang pendusta

Sumber: Himpunan Hadis-Hadis Lemah dan Palsu - Imam Bukhari - Syk Nurulhas - m.s. 87



8.Anggota akan khusyuk bila hati orang yang bersembahyang khusyuk

Al-Hakim At-Tirmizi * meriwayatkan dari Abu Hurairah dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :


Ertinya: Rasulullah s.a.w . melihat seorang laki - laki sedang mempermainkan janggutnya sedangkan dia dalam solat , maka Rasulullah s.a.w. bersabda : Jika hati orang ini khusyu' tentulah anggota - anggotanya khusyu '.

Kata Al-Albani : Hadith ini adalah Maudhu'

Dalam sanadnya terdapat Sulaiman bin ' Amru iaitu Abu Daud An-Nakha'iy yang menurut Ibnu ' Adiy ia disepakati membuat Hadith palsu .

*Al-Hakim At-Tirmizi bukanlah Imam At- Tirmizi . Beliau adalah pengarang kitab Nawadirul-Usul. Seorang Sufi. Dikatakan bahawa dalam kitabnya Khatamul-Walayah beliau berpendapat bahawa wali lebih agung daripada Nabi. Beliau dibuang dari Tirmiz dan beliau pergi ke Nisabur.

Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 284