Saturday 24 November 2012

SUKATAN GANTANG


Gantang
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Gantang adalah merupakan suatu alat sukatan lama. 1 gantang sukatannya bersamaan lebih kurang 2.8 kg iaitu sama dengan 4 cupak. Gantang lazimnya diperbuat dari kayu sepertimana cupak yang biasanya diperbuat dari tempurung kelapa yang besar. Gantang tidak digunakan lagi sebagai sukatan selepas pertuakran kepada penggunaan sistem metrik di Malaysia dalam tahun 1977 dan kini gantang tinggal sebagai peribahasa dan warisan zaman silam sahaja.

Isi kandungan
Sejarah
Pada zaman kerajaan lama (sebelum wujudnya sukatan metrik piawai), gantang dijadikan alat penyukat rasmi. Ukuran ini sering digunakan di desa, terutama untuk penduduk yang menanam padi atau gandum.
Gantang adalah satu ukuran untuk isi padu (volume measure atau capacity) bersamaan dengan 1 gelen imperial, hampir sama dengan 4.56 liter sukatan metrik ataupun 1.2 gelen U.S. [1]. Khazanah Malaysia mentakrifkan 1 gantang sebagai 4.546 09 liter dan 1 liter bersamaan dengan 0.219969 gantang rujuk SURAT PEKELILING PERBENDAHARAAN BIL. 13 TAHUN 1977, Khazanah Malaysia
 Penggunaan Di Nusantara
Di Sabah dan Sarawak, gantang digunakan juga sebagai unit berat, bersamaan 5 1/3 paun Imperial (kira-kira 2.419 kg) (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 1966). Di Brunei, gantang digunakan dengan sukatan berat untuk beras, bersamaan 8 paun avoirdupois, iaitu kira-kira 3.63 kg. Tetapi apabila digunakan untuk mengukur padi, gantang bersama dengan 5 1/3 paun sahaja, bersamaan 2.419 kg.
Gantang di Indonesia adalah unit sukatan untuk beras, dan adalah bersamaan dengan 8.5766 liter. Semasa penjajahan Belanda, gantang dikira untuk ukuran isi padu sebagai 1/14 pikul (kira-kira 8.38048 liter) tetapi apabila digunakan dengan ukuran berat adalah dikira sebagai sukatan bersamaan 6.15 kg.
Gantang mendapat tempat dalam peribahasa Melayu. Antara peribahasa yang melibatkan gantang adalah
Bil.
Peribahasa
Maksud
1 .
Daripada segenggam jadi segantang.
Bernasib baik.
2 .
Duduk dengan cupak dan gantang.
Ketua yang adil.
3 .
Melukut di tepi gantang.
Sesuatu/sesorang yang tidak dihargakan sangat.
4 .
Menggantang anak ayam.
Melakukan pekerjaan yang sia-sia.
(Peribahasa lain yang sama makna:
a. Bagai menyukat anak ayam, masuk empat keluar lima,
b. Bagai menyukat belut hidup).
5 .
Menggantang asap, mengukir langit.
Memikirkan (menghendaki) yang bukan-bukan; melakukan perbuatan yang sia-sia.
6 .
Mengisi gantang pesuk.
Melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan hasil.
7 .
Penuh sudah bagai menggantang.
Penuh benar-benar.
8 .
Seperti melukut di tepi gantang, keluar tidak mengurangi, masuk tidak memenuhi.
melukut = lemukut.
Tidak berharga dalam masyarakat; tidak dapat menolong dan sebagainya.
9 .
Tiada terbawa sekam segantang.
Sangat lemah; tidak berdaya.
10 .
Yang secupak (= sesukat) takkan jadi segantang.
Sesuatu yang tidak dapat diubah lagi.


Sukatan Padi Dan Beras

     Yang tempurung tu kepol (4 kepol 1 cupak), yang tengah cupak (4 cupak 1 gantang).Yang besar tu gantang( Satu gantang beras untuk bayar fitrah)
     Membayar fitrah  dengan wang adalah TIDAK SAH mengikut MAZHAB SYAFIE jika diniatkan wang menjadi zakat fitrah seperti diniatkan “Wang ini fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku”. Tetapi HARUS digantikan makanan dengan wang dan hendaklah diniatkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan (orang-orang) tanggunganku – pada tahun ini".

  

1 kati = 600gram

1 tahil = 38 gram

4 tahil = 150 gram

8 tahil = 300 gram

2 kepul = 1 kal (450 gram)

2 kal = 1 cupak (900 gram)

4 cupak = 1 gantang(3.6 kilogram)

16 gantang = 1 nalih (57.6 kilogram)

10 nalih = 1 kunca (576 kilogram)

Monday 19 November 2012

HUKUM NISFU SYA`BAN

Nasihat Dr Yusuf al-Qaradawi Mengenai Sambutan Nisfu Sya`ban
Posted on Sunday, July 01 @ 00:00:00 PDT
 
Dilulus untuk paparan oleh
 lararatu



“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Sya`ban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.”

(Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut)

(2) Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“(Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah).

(Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya).”

(Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)

**Lain-lain pandangan ulama muktabar seperti al-Hafiz al-`Iraqi, Imam an-Nawawi dan Imam as-Suyuti mengenai sambutan Nisfu Sya`ban boleh dibaca di pautan berikut, insyaALLAH:

>>Beberapa Pendapat Ulama Muktabar Mengenai Sambutan Nisfu Sya`ban" 

Friday 2 November 2012


NASIHAT BERGUNA BUAT SALAFI & KHALAFI MALAYSIA
( Diterbitkan oleh METRO AHAD, 24 Dis 06 dengan versi artikel)
Oleh : Ust Zaharuddin Abd Rahman
SOALAN
soalan saya ustaz, ilmuan kaum tua dan kaum muda sekarang masih lagi berbeda pendapat hatta pada masalah yang furu'. mereka masih berfikiran sempit dan tidak mahu mengambil pengajaran atas dasar taqlid yang pernah dianuti masyarakat islam dahulu. bagaimana ustaz peranan para ilmuan muda ini untuk mendapat tempat dalam bidang intelektual sekarang?
-hidayah-
JAWAPAN
Sedar atau tidak sedar, perselisihan dan perbezaan pendapat antara golongan yang mengkaji dan mengamalkan agama Islam di Malaysia menjadi semakin hangat. Ia semakin mendapat perhatian ramai apabila muncul di akhir-akhir ini golongan kelas pertengahan dari masyarakat yang suka mendapatkan sesuatu hukum beserta dengan dalil-dalilnya, tanpa hanya mendengar ‘halal' atau ‘haram' dan kemudian menurutinya dengan selesa. Dengan pertambahan golongan masyarakat yang sebegini, maka pendapat mazhab Syafie yang sudah biasa didengari dan dikuti tanpa banyak soal sejak turun termurun sudah mula dibuka untuk perbandingan dengan pandangan-pandangan lain, demi mendapatkan satu hukum yang benar-benar selesa dipegang oleh golongan ini. Secara tidak lansgung, tindakan ini dilihat amat negatif oleh sebilangan golongan dan kelompok masyarakat yang lain, iaitu dalam keadaan mereka sudah amat selesa dengan satu pegangan itu sejak sekian lama tiba-tiba muncul perbincangan terhadap pegangannya. Hal seperti ini menjadikan perang mulut berlaku dan ‘perdebatan dari jauh' dan dekat juga tidak kurang banyaknya.
Hasil tinjauan dan pengamatan sederhana saya,  mendapati adakalanya perdebatan ini bertukar kepada perdebatan sihat kepada yang sebaliknya. Hasil dari itu, saya ingin mengambil peluang di ruang ini bagi berkongsi nasihat yang ebrguna buat sahabat-sahabat dari kedua-dua aliran. Diharap mereka sudi untuk membacanya tanpa prejudis.
Bagi saya, peranan golongan ilmuan muda hari ini antaranya :-

a) Tidak cepat menghukum sebaliknya perlulah memahami perjuangan kedua-dua kumpulan dengan baik
b) Menjaga asas dan adab serta bersabar dalam perdebatan dan perbincangan.
c) Memahami hujjah, kondisi, kesediaan masyarakat setempat.
d) Merujuk sesuatu isu dari sumber rujukan samada kitab yang benar-benar mewakili mazhab itu. Jika mazhab Syafie, maka perlulah dirujuk kitab utama yang telah disepakati oleh ribuan ulama Syafie silam seperti Ar-Rawdah, Al-Majmu', Nihayatul Muhtaj, Tuhfatul Muhtaj, Mughni al-Muhtaj, Fath al-‘Aziz dan Al-Umm. Ini antara kitab utama yang mesti dipastikan rujukan bagi mendapatkan satu fatwa yang mewakili mazhab Syafie.
e) Bersikap terbuka dan beradab dalam menilai pandangan-pandangan ulama lain dan dalil bagi setiap fatwa mereka. Dan banyak lagi peranan lain yang tidak mampu saya nyatakan di ruangan kecil ini.
Justeru, eloknya ilmuan muda dan dewasa meneliti di mana punca temu dan tembung antara dua aliran ini. Jika diteliti, kita akan dapati kedua-dua mereka bertemu dalam banyak perkara, terutamanya,  bertemu dalam niat baik yang ingin disumbangkan kepada masyarakat..
Kaum Muda yang di namakan juga ‘salafi', ‘tajdid', ‘sunnah' atau dicop juga sebagai ‘wahabi' pada hemat saya menginginkan seluruh masyarakat lebih 'selamat' dan hampir kepada Al-Quran & as-Sunnah (pada hemat dan penelitian mereka) ; iaitu  dengan cara membawa mereka kepada pegangan Aqidah dan Ibadat yang dipaku dengan dalil sohih tanpa hanya terikat dan taqlid kepada satu aliran atau pendapat saja. Ia satu niat yang amat baik dengan mengembalikan fungsi aqal yang dikurniakan Allah SWT serta memurnikan ibadat dari rekaan-rekaan yang dijangkakan boleh menghilangkan sasaran pahala yang diletakkan oleh Rasulullah SAW.
Kaum Tua atau dikenali sebagai ‘Khalafi' yang berpegang dengan umum mazhab Syafie pula berhasrat memudahkan orang awam yang dirasakan kebanyakannya kurang mampu untuk mengikuti kaedah tadi, lalu mereka mempopularkan cara taqlid (ikutan tanpa kajian terperinci) sebagai medium penyatuan dalam masyarakat dan juga ibadah, selain menganugerahkan kemudahan buat masyarat yang majoritinya tidak punyai kemampuan untuk mengkaji secara mendalam hingga ke tahap dalil bagi sesuatu ibadat. Selain itu, mereka juga risau akan munculnya individu yang tidak berkelayakan lalu menggunakan kaedah rujukan dalil tadi sehingga menyeleweng, menurut mereka lebih baik bertaqlid kepada satu mazhab (Syafie) berbanding silap menyeleweng atau lebih baik pegang pendapat ulama syafie dari pegang pendapat sendiri yang amat tidak ‘alim.
Niat mereka ini lebih elok jika kita sedari dari asyik berbicara tentang perselisihan mereka. Selain itu, akibat peselisihan yang semakin buruk, muncul tuduhan dari kedua-dua kumpulan bahawa orang sana tidak lain hanya ingin menyesatkan dan memecah belahkan orang ramai. Masing-masing menuduh antara satu sama lain sebagai punca masalah tanpa sedar lagi kemungkinan dirinya adalah silap.
Justeru, kita dapat lihat inilah perjuangan mereka semua niat adalah baik, cuma mereka berbeza dalam target bentuk pergerakan, penentuan keutamaan dan pendekatan.
Peranan Penyokong
Malangnya dengan di'api'kan oleh penyokong masing-masing yang kurang 'ilmu' dan penghayatan, maka pertembungan menjadi serius, titik selisih menjadi utama menenggelamkan hasrat murni dan titik persamaan. Hinggakan guru-guru kedua kumpulan yang pada asalnya cukup lunak dan berbaik, menjadi keras, tuduh menuduh berlaku, remeh meremeh, balas membalas, lebih amat malangnya banyak pula si 'guru' yang bertindak balas bukan dalam isu yang sebenar, tapi hanya akibat mainan mulut si anak murid atau penyokong yang suka menokok tambah bagi menyedapkan perisa, kononnya orang sana menyebut itu ini.
Suka saya nasihatkan si murid agar mengingati kembali bab 'An-Namimah' iaitu mengadu domba yang amat dicela oleh Islam. Guru mana yang tidak ‘marah' apabila dilaporkan oleh si anak murid bahawa orang sana mengatakannya mengajar ajaran yang tidak benar, sesat, hujah cetek, menolak Usul Fiqh, tak mengetahui hadith dan lain-lain. Malah lebih buruk apabila kritikan hujjah merebak kepada kritikan peribadi, rupa wajah dan lain-lain.
Nabi SAW bersabda :
‏لا يدخل الجنة ‏ ‏نمام
Ertinya : Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba ( Riwayat al-Bukhari)
Huraian ringkas berkenaan tajuk yang disebut dalam kitab "Al-Halal Wal Haram" oleh Dr Yusof Al-Qaradawi sangat baik dibaca oleh ilmuan dan para pengaji agar tidak tergolong dalam kumpulan pengadu domba yang memburukkan keadaan, memutuskan ikatan kasih antara muslim dengan berselindung di balik ‘niat baik' kononnya untuk meluruskan orang yang sedang menyeleweng.
Saya kerap berjumpa, pertempuran hujjah si 'guru', tetapi ia sebenarnya adalah hasil 'mulut' si anak murid, maka bertempurlah si 'guru' tanpa fakta yang sebenar tentang pihak sebelah sana, amat malang dan membuang masa. Inilah akibat kesimpulan sendiri dari kedua-dua belah pihak, sehingga mengadakan perkara yang tiada.
Peranan Syaitan
Dalam keghairahan menegakkan hujjah, pendekatan, keutamaan yang diletak oleh kumpulan dan perjuangan masing-masing, ramai yang tidak sedar bahawa Syaitan bertapak semakin hebat dalam diri. Sedarkah kita bahawa Syaitan pasti melontarkan rasa keakuan, ego, sombong, rasa diri ‘alim kerana hujjah mantap?. Ketika itu, secara sedar atau tidak, sekiranya hujjah di pihak lain adalah benar sekalipun , ianya tetap akan dilihat salah, sekaligus menolaknya dengan pantas, sambil merujuk ke guru masing-masing untuk mencari hujjah tambahan.
Kerap juga saya dengari di kalangan penyokong-penyokong ini merujuk kepada guru mereka sambil berkata "Ust , bagaimana saya nak jawab hujjah mereka yang ini, yang itu dan lain-lain" . Sedarkah kita bahawa kemungkinan hujjah itu benar?. Tetapi dalam hal ini, si penyokong seolah-olah sudah pasti ianya salah, cuma mereka kurang mahir menacri hujah menolaknya sahaja. Sang guru pula akan rasa tercabar apabila hujjahnya dipatahkan lalu dengan begitu bersemangat pula membawa ‘buah' baru untuk dilontarkan kepada ‘orang sana'.
Jika ini berlaku, tiada lagi usaha mencari kebenaran tulen, yang ada hanyalah usaha menunjukkan ke'alim'an masing-masing. Adakalanya, belum pun sesuatu hujah ‘orang sana' diamati sehingga habis ayat-ayatnya, telah digelengkan kepala, ditertawakan, diberikan senyuman sumbing tanda hinaan terhadap hujah orang lain.
Nabi SAW menyebut :
الكبر بطر الحق وغمط الناس
 " Takabbur itu adalah menolak kebenaran dan memperlekehkan manusia" ( Riwayat Muslim)
Berkata Syeikh Abu Raghib akan erti "Batar" dalam hadith di atas :-
"Rasa ‘ujub' atau keajaiban diri yang menyelubungi individu ketika diseliputi nikmat ( termasuk nikmat ilmu)"
Inilah yang pasti berlaku dalam pertempuran hujjah yang diapikan oleh para penyokong ini. Perlekehan akan berlaku, lalu timbulah ayat-ayat seperti " tak habis mengaji lagi tu" , " hidung masih berhingus nak berhujjah". " ni mesti tak faham bahasa arab dengan baik ni" , "depa ni bukan reti ilmu hadith" dan banyak lagi dari kedua-dua belah. Sihatkah ini? Benarkah perjuangan kebenaran yang didokongi atau telah terseleweng sedikit demi sedikit?.
Semoga Allah memberi rahmat buat kita semua dan mengampunkan saya dalam kesilapan pengamatan saya yang amat sederhana. Maaf buat semua jika ia mengguris anda tanpa hak. www.zaharuddin.com